Kesihatan merupakan aset yang penting dalam kehidupan seorang individu. Dalam Islam, kesihatan merupakan aspek utama yang perlu dititikberatkan. Dengan menjaga kesihatan, seseorang individu dapat melakukan ibadah dengan baik dan sempurna. Betapa pentingnya menjaga kesihatan terserlah apabila Rasulullah s.a.w menyebut dalam sebuah hadis :
“Permintaan yang paling disukai Allah daripada hamba-Nya ialah meminta dianugerahkan kesihatan yang sempurna.”
Bahkan Baginda sendiri mengajar umatnya supaya mengamalkan selawat syifa’.
Syariat Islam yang diturunkan oleh Allah amat menitikberatkan kesihatan manusia dari segi kesihatan mental, fizikal dan spiritual. Setiap sesuatu yang dihalalkan syariat sudah pasti dapat memanfaatkan manusia manakala setiap sesuatu yang diharamkan pula adalah disebabkan Allah mengetahui ia amat memudaratkan kesihatan manusia.
Pepatah yang menyebut ‘you are what you eat’ atau ‘anda ialah apa yang anda makan’ dapat dinilaikan bahawa penjagaan makan minum sangat penting untuk kesihatan manusia. Apabila seseorang individu itu mengetahui konsep penjagaan kesihatan, mereka akan dapat mengamalkan satu tabiat hidup yang telah diatur dengan baik.
Halalan Toyyiba
Islam menyeru umatnya supaya memilih makanan yang mempunyai dua kriteria iaitu halal (‘halalan’) dan baik (‘toyyiba’) atau berkhasiat. Makanan kita mestilah daripada sumber yang halal di samping berzat, berkhasiat dan baik yang sesuai dengan tubuh badan seseorang.
Soal makan sangat penting kerana antara makanan dan keperibadian seseorang mempunyai pertalian yang amat kuat. Makanan yang baik dan halal akan menjamin akhlak yang baik, sebaliknya makanan daripada sumber yang haram akan menyebabkan lahirnya akhlak yang negatif.
Elak Obesiti
Setelah memilih makanan yang halal dan baik, Islam memberi panduan tentang adab makan pula iaitu bersederhana dalam makan. Ia menyeru umatnya supaya makan dan minum tetapi jangan berlebihan. Konsep berlebihan dalam pengambilan makanan ini telah diperakui oleh doktor bahawa makanan yang berlebihan boleh mengakibatkan obesiti atau gemuk.
40 Kali Kunyah
Rasulullah s.a.w juga mengajar umatnya dalam sunnah Baginda supaya mengunyah makanan yang kita makan sebanyak 40 kali kunyahan. Hal ini demikian supaya makanan yang kita kunyah akan hancur dan dapat diserap dengan baik untuk proses penghadaman. Di samping itu juga, amalan kunyahan makanan ini dapat mengehadkan kita daripada makan secara berlebihan.
Air Putih
Bagi minuman pula, air putih adalah sebaik-baik minuman yang perlu kita minum untuk kesihatan dalaman kita. Hal ini demikian kerana air putih dapat menyerap apa yang kita makan di samping membantu mempercepatkan proses penghadaman. Selain itu, air putih juga dapat membuang segala toksin dan kolesterol yang terdapat dalam badan kita.
Oleh itu, kita perlu minum air putih sekurang-kurangnya lapan hingga sepuluh gelas sehari. Pada awalnya, memang sukar untuk kita amalkan secara mendadak, akan tetapi apabila kita ‘istiqamah’ ataupun melakukan amalan ini secara berturut-turut, amalan ini akan menjadi kebiasaan demi kesihatan dalam jangka masa panjang.
Senaman
Demi menjamin kesihatan yang baik, Islam juga menyeru supaya kita memberi hak pada setiap anggota tubuh badan agar dapat mencegah daripada penyakit. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Dalam sehari, badan kita perlu dilatih dengan senaman supaya kita menjadi lebih sihat dan aktif bekerja. Pergerakan badan yang kerap amat penting bagi membantu sistem dalaman dalam badan kita dan juga menjana minda yang cerdas.
Rehat
Walau bagaimanapun, kita juga diberi hak untuk rehat misalnya tidur. Dalam Islam, tidur itu merupakan satu ibadah. Badan kita perlu berehat melalui tidur pada malam hari selama lapan jam sehari bagi membantu proses perkumuhan.
Kesihatan Rohani
Menjaga kesihatan dalam Islam bukanlah sekadar luaran sahaja tetapi makanan rohani juga harus dititikberatkan. Jiwa yang tidak disantap dengan pengisian ilmu yang berfaedah akan terasa seperti jiwa di dalam kekosongan. Ilmu yang berfaedah sangat penting supaya kita lebih berpengetahuan misalnya ilmu agama. Dengan mengetahui syariat Islam yang diturunkan, kita sebagai umat Islam dapat menilai baik buruk sesuatu perkara dan seterusnya dapat mengamalkan setiap perkara yang disyariatkan dengan baik dan sempurna di sisi Allah dan masyarakat sekeliling.
Nikmat Sihat Wajib Disyukuri
Nikmat kesihatan sangat penting dalam kehidupan seharian bagi seseorang individu. Namun, tidak kurang ramai juga yang terlibat dalam penyalahgunaan nikmat kesihatan. Nikmat sihat dikira salah guna jika di kala sihat manusia lupa beribadat. Dalam erti kata lain, dia leka dengan perkara lain yang menjauhkan dirinya daripada Allah sebaliknya apabila dia sakit atau ditarik nikmat sihat daripadanya barulah dia teringat hendak memperbanyakkan ibadahnya.
Sesungguhnya kesihatan adalah nikmat Allah yang paling berharga. Jadi, gunakanlah ia sebaik mungkin untuk mendekatkan diri kepada Allah kerana penyalahgunaan nikmat sihat di sisi Allah adalah sesuatu yang dilarang di dalam Islam.
0 comments:
Post a Comment